Seperti yang diketahui Korea Selatan telah berjaya mencipta satu fenomena khususnya dalam dunia hiburan sehingga menjadi perhatian dunia. Tidak cuma itu, wujudnya satu fenomena yang dipanggil sebagai makan secara Mukbang memenuhi segenap media sosial.
Artikel menarik: Cara Buat Wet Food Kucing Guna 3 Bahan Murah & Mudah
Mukbang merupakan tindakan memakan pelbagai jenis makanan yang kebiasaannya disiarkan secara langsung di media sosial.
Bagaimanapun, timbul persoalan jika ia dilakukan oleh umat Islam terutamanya apabila makan sesuatu makanan dalam jumlah yang berlebihan atau berlakunya pembaziran.
Untuk mengetahui mengenai hukum Mukbang, ikuti perkongsian Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dr Luqman Hj Abdullah di bawah ini.
Soalan Hukum Mukbang
Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan soalan? Adakah makan secara mukbang dibenarkan dalam Islam? Terima kasih Datuk.
Ringkasan Jawapan Hukum Mukbang
Hukum mukbang adalah harus selagi mana tiada dalil yang menunjukkan pengharamannya kerana ia tidak bertentangan dengan prinsip hukum syarak. Namun perlulah ia dilakukan dengan cara mengikuti adab makan dan minum yang digariskan dalam Islam, antaranya makan makanan yang halal lagi baik, tidak makan secara berlebihan sehingga menyebabkan berlakunya pembaziran, tidak pula makan dengan gelojoh atau tergesa-gesa, di samping menghidupkan sunnah-sunnah dan adab-adab yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Huraian Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kebangkitan.
Mukbang merupakan gabungan daripada dua perkataan bahasa Korea iaitu 먹는; meongneun yang bermaksud makan dan 방송 bangsong bermaksud penyiaran. Secara istilahnya pula, ia merupakan suatu siaran langsung dalam talian di mana pengacara memakan makanan pelbagai jenis sambil berinteraksi dengan para penonton. Fenomena ini mula terkenal serata Korea Selatan pada tahun 2010.[1]
Jika dilihat, secara kebiasaannya, video-video mukbang ini dihasilkan bagi tujuan meraih keuntungan dan populariti, malah ada juga sesetengah individu yang menjadikannya sebagai lubuk kerjaya.
Mereka menjana pendapatan daripadanya melalui upah pengiklanan, mendapat tajaan daripada pihak luar, membuat perakuan dan pengesyoran terhadap sesuatu produk makanan di samping adanya sokongan dan dukungan daripada kalangan penonton sama ada dalam bentuk wang tunai mahupun jumlah tontonan.[2]
Pada dasarnya, tidak ada larangan khusus terhadap perbuatan tontonan aktiviti makan atau yang dikenali sebagai mukbang ini di dalam Islam. Hal ini kerana, kaedah Fiqh menyebut:
الأصل في الأشياء الإباحة
Maksudnya: Asal pada sesuatu perkara adalah harus.[3]
Al-Sa‘di menyebut setiap sesuatu perkara itu adalah harus selagi mana tiada sebarang dalil atau sesuatu yang menunjukkan pengharamannya.[4] Maka, aktiviti mukbang ini pada dasarnya kita katakan ia adalah harus selagi mana tidak ada apa-apa yang membuatkan ia berubah menjadi haram.
Namun, sekiranya diperhatikan, terdapat segelintir masyarakat yang dilihat melakukan aktiviti ini dengan cara yang bertentangan dengan adab makan dan minum dalam Islam. Antara yang dapat dinyatakan di sini adalah seperti berikut:
Pertama: Memakan makanan yang kotor dan tidak bersih.
Sekiranya diperhatikan, terdapat beberapa individu yang mengadakan siaran mukbang dengan mengambil makanan-makanan yang tidak bersih dan suci demi menaikkan rating videonya. Sedangkan Allah SWT telah berfirman:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا
Al-Baqarah, 2:168
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”
Imam Ibn Kathir menyebut di dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan toyyiba pada ayat ini ialah apa yang baik untuk diri sendiri dan tidak pula memudaratkan tubuh badan mahupun akal fikiran.[5] Justeru, dapat kita fahami bahawa menjadi satu kewajipan ke atas seorang muslim itu untuk memakan makanan yang halal lagi baik sepanjang kehidupannya di atas muka bumi ini.
Kedua: Kenyang yang berlebihan
Seterusnya, terdapat juga sebahagian pelaku video mukbang mengambil jumlah makanan atau minuman dengan kuantiti yang sangat banyak, sehinggakan melebihi kadar keperluan dirinya, bahkan terkadang sehingga membawa kepada rasa sakit dan muntah akibat ingin menyelesaikan cabaran yang diminta oleh penonton misalnya.
Berbeza pula halnya dengan apa yang diajar dalam Islam, firman Allah SWT:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Al-A‘raf, 7:31
Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
Ibn Abbas berkata mengenai ayat ini bahawa Allah SWT menghalalkan perbuatan makan dan minum selagi mana tidak berlebihan atau membangga diri.[6]
Tambahan lagi, perkara ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sepotong hadis:
مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ. بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ
Maksudnya: “Tiada ruang yang manusia isi yang lebih buruk daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam memakan beberapa suapan untuk menegakkan tulang sulbinya. Namun, jika dia tidak dapat mengelaknya, maka hendaklah dia membahagikan sepertiga perutnya (diisi) untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiga lagi untuk nafasnya.
Riwayat al-Tirmidzi (2380), hadis ini dinilai sebagai hadis hasan sahih.
Imam Ibn al-Qayyim menjelaskan tentang kemudaratan makan secara berlebihan dari sudut prinsip perubatan Islam, beliau berkata:
الْأَمْرَاضُ نَوْعَانِ: أَمْرَاضٌ مَادِّيَّةٌ تَكُونُ عَنْ زِيَادَةِ مَادَّةٍ أَفْرَطَتْ فِي الْبَدَنِ حَتَّى أَضَرَّتْ بِأَفْعَالِهِ الطَّبِيعِيَّةِ، وَهِيَ الْأَمْرَاضُ الْأَكْثَرِيَّةُ، وَسَبَبُهَا إدْخَالُ الطَّعَامِ عَلَى الْبَدَنِ قَبْلَ هَضْمِ الْأَوَّلِ، وَالزِّيَادَةُ فِي الْقَدْرِ الَّذِي يَحْتَاجُ إِلَيْهِ الْبَدَنُ وَتَنَاوُلُ، الْأَغْذِيَةِ الْقَلِيلَةِ النَّفْعِ، الْبَطِيئَةِ الْهَضْمِ، وَالْإِكْثَارُ مِنَ الْأَغْذِيَةِ الْمُخْتَلِفَةِ التَّرَاكِيبِ الْمُتَنَوِّعَةِ، فَإِذَا مَلَأَ الْآدَمِيُّ بَطْنَهُ مِنْ هَذِهِ الْأَغْذِيَةِ، وَاعْتَادَ ذَلِكَ، أَوْرَثَتْهُ أَمْرَاضًا مُتَنَوِّعَةً، مِنْهَا بَطِيءُ الزَّوَالِ وَسَرِيعُهُ، فَإِذَا تَوَسَّطَ فِي الْغِذَاءِ، وَتَنَاوَلَ مِنْهُ قَدْرَ الْحَاجَةِ، وَكَانَ مُعْتَدِلًا فِي كَمِّيَّتِهِ وَكَيْفِيَّتِهِ، كَانَ انْتِفَاعُ الْبَدَنِ بِهِ أَكْثَرَ مِنَ انْتِفَاعِهِ بِالْغِذَاءِ الْكَثِيرِ.
Maksudnya: Penyakit itu ada dua jenis: Penyakit fizikal yang berpunca daripada lebihan bahan kandungan dalam tubuh badan sehingga memudaratkan fungsi semula jadinya, dan ia merupakan penyakit kebanyakan (sering berlaku). Sebab ia berlaku adalah kerana beberapa perkara iaitu kemasukan makanan ke dalam badan sebelum selesainya proses penghadaman yang pertama, pengambilan makanan melebihi kadar yang badan perlukan, pengambilan makanan yang tidak atau kurang berkhasiat, sistem penghadaman yang lambat, pengambilan pelbagai makanan yang bermacam bahan. Sekiranya seorang manusia memenuhkan perutnya dengan makanan ini, malah berlebihan pula, maka dia akan menghidapi pelbagai penyakit seperti pencernaan yang lambat ataupun laju. Sekiranya bersederhana dalam pengambilan makanan, menjamah makanan sekadar yang diperlukan badan, di samping kuantiti yang seimbang dan juga cara pengambilannya, maka ia dapat memberi manfaat pada tubuh badan lebih daripada memakannya dalam jumlah yang banyak.[7]
Oleh yang demikian, kita dapat melihat bahawa kenyang yang berlebihan amatlah tidak baik, malah membawa ancaman pula ke atas tubuh badan dan akal fikiran. Bukan itu sahaja, bertitik tolak daripada noktah kedua ini juga, terkait juga dengan perkara yang ketiga iaitu berlakunya pembaziran.
Allah SWT berfirman:
وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ﴿٢٦﴾ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا ﴿٢٧﴾
Al-Isra’, 17:26-27
Maksudnya: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
Dr Wahbah al-Zuhaili menyebut di dalam tafsirnya berkenaan ayat ini yang secara jelas menekankan larangan dan keburukan melakukan pembaziran sehingga Allah SWT menisbahkannya kepada perbuatan syaitan.[8]
Keempat: Makan dengan gelojoh
Perbuatan makan dengan cepat atau gelojoh ini seringkali dilihat dilakukan oleh kebanyakan pelaku video mukbang atas sebab mengejar masa atau menyahut cabaran yang diberi oleh para penonton. Walhal, perbuatan ini amatlah tidak baik dan mesti dihindari oleh kerana boleh mendatangkan pelbagai risiko pada tubuh badan seperti penyakit jantung, strok, diabetes dan bermacam lagi.
Imam al-Nawawi ada menyebut di dalam kitabnya apabila ditanya berkenaan kesahihan hadis Nabi SAW menyuruh agar mengunyah makanan sehingga 40 kali, beliau menjawab:
“Tidak ada langsung hadis yang sahih dalam perkara ini. Akan tetapi, ia adalah satu perkara yang baik kerana itu lebih sesuai (sopan) ketika makan bersama orang lain dan ia juga bertujuan untuk mengajar, ataupun boleh jadi makanan itu sukar untuk dikunyah disebabkan dia seorang yang dhaif (lemah) ataupun disebabkan seseorang itu sudah kenyang dan dikhuatiri jika dia mengangkat tangannya (berhenti daripada makan) akan menyebabkan orang lain yang sedang makan akan turut sama berhenti sedangkan mereka itu masih berhajat kepada makanan tersebut (lapar) atau seumpama dengannya yang melibatkan tujuan-tujuan yang baik.”[9]
Kelima: Makan menggunakan tangan kiri
Kadangkala berlaku juga beberapa pelaku mukbang yang tampil dan makan dengan menggunakan tangan kiri, walhal Islam mengajar umatnya agar makan dengan tangan kanan. Sabda Nabi SAW:
إذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ
Maksudnya: Jika seseorang di antara kalian makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Jika minum maka hendaklah juga minum dengan tangan kanannya, karena syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya pula.
Riwayat Muslim (2020)
Berdasarkan hadis inilah, Imam al-Nawawi berpandangan makan dan minum dengan tangan kiri hukumnya makruh dan tidak sampai ke tahap haram. Namun ia merupakan satu perbuatan yang perlu dijauhi kerana menyerupai perlakuan syaitan.[10]
Oleh yang demikian, perlunya kita kembali kepada apa yang diajar oleh syariat, yakni penjagaan adab ketika makan dan minum. Kesimpulannya dapat kita rangkumkan di sini, hukum mukbang adalah harus selagi mana tiada dalil yang menunjukkan pengharamannya, namun perlulah ia dilakukan dengan cara mengikuti adab makan dan minum yang digariskan dalam Islam, antaranya makan makanan yang halal lagi baik, tidak makan secara berlebihan sehingga menyebabkan berlakunya pembaziran, tidak pula makan dengan gelojoh atau tergesa-gesa, di samping makan menggunakan tangan kanan. Bukan itu sahaja, terdapat banyak lagi adab-adab yang ditunjukkan melalui sunnah Nabi SAW seperti memulakan makan dan minum dengan ucapan basmalah dan sebagainya. Maka, seeloknya kita selaku individu Muslim menerapkan nilai Islam dalam diri kita dengan mengikuti apa yang diperintahkan Allah SWT dan disarankan Rasulullah SAW dalam perihal makanan dan minuman. Wallahu A‘lam.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan